News

Apa anda harus tahu mengenai barah tekak

Berita Harian (30 March 2016) - SEHINGGA tiga pesakit baru barah tekak tampil mendapatkan rawatan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) setiap minggu.

BH 20160330 Throat Cancer

BUAT PEMERIKSAAN: Dr Lam (kiri) menunjukkan cara pemeriksaan bagi menentukan masalah
barah dalam tekak.
 

Bilangan itu merupakan antara 40 pesakit barah yang tampil bagi mendapatkan rawatan setiap minggu di hospital tersebut. Antara 2012 dengan tahun lalu, bilangan pesakit barah larinks, atau kotak tekak (larynx), mencecah 85 orang.

Selain daripada itu, ada juga 67 pesakit barah oropharynx atau bahagian tengah tekak, dan 35 pesakit barah hypopharynx atau bahagian bawah tekak, dalam tempoh yang sama.

Mendedahkan itu kepada Gah!, Konsultan Jabatan Pakar Penyakit Telinga Hidung dan Tekak (Otorhinolaryngology) TTSH, Dr Lim Ming Yann, berkata kebanyakan pesakit barah tekak adalah perokok yang mengamalkan tabiat merokok sejak bertahun lamanya.

“Sesetengah pesakit ini juga meminum minuman keras secara berlebihan. Masalah penjagaan gigi kurang bersih juga mungkin menjadi penyumbang kepada barah mulut dan tekak.

“Tetapi sejak kebelakangan ini, kami juga ditemukan dengan pesakit barah tekak yang berpunca daripada virus papiloma manusia, yang ada kaitan dengan amalan mempunyai berbilang pasangan seksual selain mengamalkan seks oral dengan pasangan mereka itu,” katanya semasa ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Antara simptom barah tekak termasuk tekak berasa perit, dengan rasa sakit bertambah buruk, darah dalam kahak, sakit telinga, bunyi kuat semasa bernafas dan sukar bernafas. Terdapat juga kelenjar limfa pada tengkuk dan pesakit akan mula susut berat badannya.

Menurut Dr Lim, sekiranya barah tekak itu berlaku pada kotak suara, si pesakit akan sering mengalami mutu suara yang semakin teruk atau hilang suara mereka, sedang sel barah menyerang pita suara dan kotak suara.

“Serangan barah itu akan menjejas pergerakan pita sehingga menyebabkan pesakit hilang suara.

“Pesakit juga mungkin kehilangan suara bagi memenuhi sebahagian daripada rawatannya. Contohnya, bagi menghapuskan barah, sebahagian atau seluruh kotak suara perlu dibuang atau menjalani radiasi,” jelasnya.

Secara umum, mereka yang mengalami barah pada peringkat awal (tidak kira apa jua pilihan rawatan) tidak akan kehilangan seluruh suara mereka tetapi mutu suara akan berubah selepas rawatan, terutamanya bagi barah kotak suara.

Bagaimanapun, biasanya pada peringkat awal penyakit, sebahagian suara asli dapat dikekalkan.

“Apabila barah sudah mencapai tahap lewat, adalah sukar mengekalkan suara asal. Jika pembedahan perlu dilakukan akibat penyakit yang semakin berkembang, kerap kali kotak suara perlu dibuang dan suara asli akan hilang,” kata beliau.

Namun, terdapat rawatan yang boleh mengembalikan suara.

Antaranya menerusi penggunaan alat yang dipanggil elektrolarinx, dengan pesakit hanya perlu memegang alat yang menghasilkan suara itu pada tekaknya dan menyebut ayat pada masa yang sama.

Meskipun mudah dipelajari dan suaranya agak jelas, mutu suara seperti perbualan robot.

Satu lagi rawatan ialah dengan menebuk lubang kecil antara saluran udara dengan saluran makanan dan memasukkan injap kecil di dalamnya.

Pesakit boleh menyalurkan udara daripada saluran udara menerusi injap ini ke dalam saluran makanan dan kemudian ke mulut – menghasilkan bunyi menerusi saluran makanan yang bergegar. Bunyi suara yang dihasilkan agak baik.

Kaedah rawatan mengembalikan suara terakhir ialah dengan menelan udara dan kemudian bersendawa dari perut ke saluran makanan dan mulut. Ini akan menghasilkan suara.

Dinamakan pertuturan esofagus, cara ini sukar dipelajari.


Download PDF 

Source: The Straits Times © Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission.