News

TTSH dedah peratusan pesakit kencing manis yang dipotong kaki

Berita Harian (27 April 2016) - PENYELIDIK Hospital Tan Tock Seng (TTSH) yang menjalankan kajian retrospektif sepanjang 10 tahun mendapati bahawa bilangan orang Melayu yang menjalani pemotongan/ amputasi kaki disebabkan penyakit kencing manis di TTSH melebihi peratusan jumlah penduduk Melayu di negara ini.

BH 20160427 Diabetes

Akibat banyak minum air bergula

ENCIK Mohd Noor Ali (gambar kelihatan begitu sebak ketika menceritakan deritanya menghidap penyakit kencing manis.

Semasa ditemui Encik Mohd Noor, 68 tahun, beliau menceritakan bagaimana beliau menghadapi kesukaran berjalan semasa berada di tanah suci sejurus selepas menunaikan umrah pada 2013 akibat kencing manis.

Beliau yang turut menghidapi sakit jantung dan darah tinggi berkata: “Waktu saya kerja, badan rasa lemah, tekak kering dan masa makan tengah hari apabila beli
air (manisan) sebotol, sekejap sahaja sudah habis dan saya haus lagi.

“Sampai kawan saya tegur, ‘Noor kau gila ke apa?’ Saya makan mi rebus satu pinggan, minum air (Cola) sampai empat tin! Makan ubat, makan juga tapi air manis pun jalan juga.”

Akibatnya pada 2014 salah satu daripada jari kaki Encik Mohd Noor terpaksa dipotong disusuli dengan satu lagi setahun kemudian.

Kini beliau perlu menjalani rawatan fisioterapi bagi memperbaiki perjalanannya.

Orang Melayu yang dipotong kakinya ekoran kencing manis di TTSH sepanjang tempoh antara 2005 dengan 2014 membentuk 18.7 peratus. Jumlah penduduk Melayu di Singapura pula 13.3 peratus.

“Masyarakat Melayu terlebih diwakili,” ujar Konsultan Bersekutu, Unit Penyelidikan Perkhidmatan Kesihatan dan Dapatan (HSOR), National Healthcare Group (NHG), Dr Gary Ang, dalam satu sidang media di TTSH semalam.

Berdasarkan kajian unit HSOR itu, sepanjang tempoh tersebut, terdapat 2,170 pesakit kencing manis yang menjalani pemotongan kaki di TTSH dan dalam 22 peratus – kira-kira seorang daripada lima orang – daripadanya meninggal dunia dalam masa setahun ekoran pelbagai komplikasi.

Ketua dan Konsultan Kanan, Jabatan Endokrinologi dan Diabetes TTSH, Profesor Madya Daniel Chew, dalam sidang media itu pula berkata:

“Pemotongan kaki mungkin merupakan komplikasi kencing manis yang paling mudah dilihat. Ia juga dikaitkan dengan banyak penyakit dan kematian.”

Walaupun usia purata pesakit yang dipotong kaki itu sekitar 64 tahun, Konsultan Kanan, Jabatan Pembedahan dan Jabatan Perubatan TTSH, Dr Sadhana Chandrasekar, telah menyaksikan pesakit semuda 30-an tahun yang memerlukan pemotongan kaki.

Nisbah pemotongan kaki, ujarnya, adalah 70:30 iaitu lebih banyak melibatkan proses mengudungkan jari kaki, sekitar bawah buku lali dan bawah lutut sementara pemotongan utama yang melibatkan di atas lutut berada dalam jumlah lebih rendah.

Ini kerana pihak hospital biasanya cuba menyelamatkan kaki itu seberapa mungkin.

“Apa yang pesakit kencing manis harus sedar adalah walaupun ia hanya luka kecil di kaki, ulser atau kulit terkoyak ia adalah satu langkah ke arah pemotongan,” ujar Dr Chandrasekar.

Maka itu, Ketua Divisyen Pembangunan Perubatan Keluarga, National Healthcare Group Polyclinics, Dr Darren Seah, menekankan peri pentingnya menjalani pemeriksaan kaki meskipun ia mungkin tampak sebagai proses yang agak remeh.

“Mencegah komplikasi sesuatu yang boleh dicapai jika anda mengawal kencing manis dengan baik.

“Namun, jika anda gagal mengawalnya, anda menghisap rokok, anda mempunyai darah tinggi, tahap kolesterol pula tinggi, maka dalam tempoh tiga hingga lima tahun anda bakal dengan mudah mula berhadapan dengan komplikasi kencing manis.

Walhal anda boleh bebas daripada komplikasi melalui kawalan yang baik,” ujar Profesor Madya Chew.


Download PDF 

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission.