News

Gejala sakit jantung di kalangan wanita kurang ketara

Berita Harian (2 June 2016) - USIANYA baru 40 tahun. Namun, pesakit kencing manis itu sudah mengalami serangan jantung. Itulah pengalaman yang disingkap Profesor Madya, Abdul Razakjr Omar, dari Pusat Jantung Raffles, Hospital Raffles.

“Saya baru sahaja merawat seorang wanita penghidap kencing manis yang berusia 40 tahun dan terkena serangan jantung. Amat jarang melihat mereka yang diserang sakit jantung dan berusia 40 tahun tanpa penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol yang tinggi atau merokok.” Menurut Dr Razakjr, beliau lebih kerap melihat penghidap sakit jantung wanita berusia dalam pertengahan 60-an.

BH 20160602 Gejala sakit jantung di kalangan wanita kurang ketara 

PENYAKIT JANTUNG ‘PEMBUNUH SENYAP’:
Dr Deanna Khoo melahirkan kebimbangannya
memandangkan tidak ramai sedar bahaya ekoran
kehadiran penyakit jantung yang bagaikan
‘pembunuh senyap’ itu. – Foto NHG

“Bagaimanapun, bagi wanita yang berpenyakit seperti kencing manis, masalah jantung akan tiba lebih awal,” ujar pakar jantung berusia 45 tahun itu, yang mula menceburi bidang kardiologi sejak tahun 2000 dan kini menerajui gerakan Geng Sihat SG (GSSG). Sementara itu, Konsultan Bersekutu Jabatan Kardiologi, Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Deanna Khoo, melahirkan kebimbangannya memandangkan tidak ramai yang sedar akan bahaya ekoran kehadiran penyakit jantung yang umpama ‘pembunuh senyap’ itu.

Apatah lagi dalam kalangan kaum wanita, gejalanya tidak begitu menyerlah.

“Walaupun tanda klasik seperti sakit dada adalah serupa, wanita lebih cenderung mendapat gejala yang tidak begitu lumrah seperti senak dan gangguan pencernaan, sesak nafas, sakit belakang, malah kadangkala tanpa sebarang ketidakselesaan yang ketara di bahagian dada,” kata Dr Khoo.

Gejala yang tidak ketara itu, tambah beliau, termasuk rasa loya, pening lalat, sakit pada satu atau kedua- dua lengan, rahang, leher atau bahagian belakang.

“Kaum wanita boleh mengambil langkah bagi memahami gejala unik penyakit jantung dan mula mengurangkan risiko menghadapi penyakit itu,” tambah Dr Khoo.

Menyentuh tentang mengapa gejala sakit jantung dalam kalangan wanita kurang ketara, Dr Razakjr berkata:

“Ini mungkin kerana sifat dan budaya mereka yang cenderung tidak menghebohkan tanda yang mereka alami. Mungkin juga manifestasi penyakit ini berbeza. Mereka (wanita) cenderung mengalami penyempitan pada arteri lebih kecil. Oleh itu, sakit dada yang mereka alami tidak begitu kuat.”

Memberi contoh, Dr Razakjr sendiri pernah menangani wanita berusia 50-an tahun yang menghidapi kencing manis.

“Gejala serangan jantungnya adalah ekoran asyik letih sejak kebelakangan dan bukannya ekoran sakit dada. Beliau kemudian berasa normal menyusuli rawatan pemasangan stent koronari yang melancarkan semula saluran darah di jantungnya,” imbas Dr Razakjr.

Menurut Dr Khoo pula, ramai beranggapan mereka tidak perlu menjalani ujian kesihatan bagi jantung sehingga lebih berusia.

Beliau menyarankan agar menjalani ujian kolesterol setiap lima tahun mulai usia 20 tahun. Namun, jika ada anggota keluarga yang menghidapi sakit jantung, adalah lebih baik ujian kolesterol bermula lebih awal.

Apa yang merupakan salah tanggapan ramai, kata Dr Razakjr pula ialah: “Jika anda berasa sihat, anda sihat!

“Sakit jantung boleh wujud secara senyap terutama dalam kalangan mereka yang menjalani kehidupan sedentari (kerap duduk dan tidak banyak bergerak).”

Apatah lagi disertai penyakit kronik lain seperti darah tinggi, obesiti dan sebagainya.


Download PDF 

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission.