Berita Minggu (2 October 2016) - PERATUSAN wanita Melayu yang menghidapi
barah buah dada peringkat lanjut –
iaitu tahap tiga atau empat – didapati hampir
dua kali lebih tinggi daripada kadar wanita
Cina, meskipun program ujian bagi mengesan
barah buah dada di peringkat nasional
sudah diperkenal sejak 2002.
KESAN AWAL: Pesakit barah buah dada Cik Zahara Said (kiri)
menerima nasihat daripda pakar barah buah dada, Dr Goh Mui Heng.
Cik Zahara tidak merasa
apa-apa simptom sebelum beliau dikesan
menghidap barah buah dada tahun lalu. – Foto ZAINAL YAHYA
Berdasarkan perangkaan Klinik Buah Dada,
Hospital Tan Tock Seng (TTSH), terdapat
42.8 peratus wanita Melayu yang menghidapi
barah buah dada peringkat lanjut dari
2012 hingga 2015 berbanding wanita Cina
yang mencatat 24.9 peratus bagi peringkat
dan tempoh yang sama.
Dalam sidang media yang diadakan di TTSH
semalam, konsultan yang juga pakar bedah
buah dada, TTSH, Dr Goh Mui Heng,
berkata: “Hampir separuh daripada pesakit
Melayu yang dikesan menghidapi barah
buah dada menunjukkan penyakit mereka
sudah berada di tahap lanjutan.”
FORUM AWAM DALAM
BAHASA MELAYU
Tajuk: Mitos Barah Payudara: Apa
yang anda perlu tahu?
Tarikh: Sabtu, 8 Oktober 2016
Masa: 9 pagi hingga 1 petang
(Pendaftaran bermula 8.30 pagi)
Tempat: Teateret Hospital Tan Tock
Seng (TTSH), Aras 1, Bangunan Utama
TTSH
Penceramah: Pakar bedah buah dada,
pembedahan plastik, pakar onkologi,
radiasi, pakar diet dan fisioterapi
Bayaran: Percuma
Pendaftaran: Hubungi talian 6357-8266
(semasa waktu pejabat sahaja) atau
e-mel kepada
BreastClinic@ttsh.com.sg. Anjuran
Klinik Payudara dan Jabatan
Pembedahan Am, TTSH
Menurut beliau, berdasarkan kajian awal
di kalangan pesakit TTSH pada 2012, ia
mendapati pesakit Melayu yang dikesan
mempunyai barah buah dada peringkat lanjutan
berada di paras tertinggi antara kaum
iaitu 43.7 peratus berbanding bangsa lain di
paras 36.8 peratus, India 31.9 peratus dan Cina
yang paling rendah dengan 26.5 peratus.
Berdasarkan dapatan tersebut, TTSH memutuskan
untuk menganalisis data tiga
tahun selepas itu.
Sepanjang 2012 hingga 2015, daripada
sejumlah 1,420 pesakit – tidak termasuk
yang ingkar menjalani rawatan susulan – terdapat
109 pesakit Melayu dan mereka berusia
antara 28 dengan 84 tahun dengan umur
median 57 tahun.
Wanita Melayu yang menghidapi barah
buah dada peringkat lanjut ialah 40.0 peratus
(Cina: 27.0 peratus) pada 2012; 50.0 peratus
(Cina: 25.1 peratus) pada 2013; 34.4
peratus (Cina: 25.8 peratus) pada 2014 dan
46.9 peratus (Cina: 21.8 peratus) pada tahun
lalu.
“Kami mendapati sepanjang tempoh
2012 hingga 2015, kadar pesakit Melayu
yang menghidapi barah buah dada tahap lanjutan
ialah dua kali lebih tinggi daripada pesakit
Cina dan trend tersebut tidak berkurangan
sepanjang tahun. Ini mungkin disebabkan
oleh budaya atau psiko-sosial pesakit
yang lewat tampil mendapatkan rawatan.
“Ia juga mungkin ekoran pengetahuan
mereka yang tidak selaras dengan tindakan
untuk mengambil langkah (rawatan).
“Ini sekali gus menunjukkan adanya keperluan
meningkatkan pengetahuan tentang
barah buah dada selain pemeriksaan kesihatan
bagi mengesannya,” ujar Dr Goh yang juga
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Bulan
Kesedaran tentang Barah Buah Dada
2016.
Sementara itu, Pengarah, Klinik Buah Dada
di TTSH, Profesor Madya, Patrick Chan,
menambah: “Sebahagian pesakit Melayu amat
prihatin rawatan barah buah dada melibatkan
perlunya menyingkirkan buah dada dan
ia sesuatu yang tidak dapat mereka terima
dalam masyarakat maka mereka berasa gentar
dan ekorannya tidak tampil mendapatkan
rawatan.”
Salah seorang pesakit yang tampil ialah
Cik Zahara Said, suri rumah berusia 50
tahun, yang dikesan menghidapi barah buah
dada tahap dua dengan benjolan berukuran
tiga sentimeter di buah dada kirinya dua
tahun lalu, dikesan setelah beliau menjalani
mamogram dan biopsi.
“Sikit pun saya tidak ada tanda mulanya
cuma saya rasa cepat penat dan saya tidak sedar
ada penyakit ini. Jadi nasihat saya pergilah
jalani pemeriksaan kesihatan terutama
apabila umur sudah 40 tahun. Fikirlah secara
positif. Lebih cepat dikesan, lebih bagus,” kata
Cik Zahara.
Setiap tahun, lebih 2,000 wanita dikesan
menghidapi barah buah dada di negara ini
dan ia barah paling lumrah di kalangan wanita
Singapura.
Sembilan poliklinik di bawah National
Healthcare Group (NHG) menawarkan mamogram
bersubsidi.
Download PDF
Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission.