News

Kaedah baru kesan hingga 92% sel barah

Berita Harian (15 March 2017) - ENCIK Paul (bukan nama sebenar) pernah menghidap masalah sukar kencing pada satu ketika. Pada awalnya beliau sangka ia hanyalah disebabkan usianya yang sudah hampir mencecah 80 tahun pada ketika itu.

BH 20170315 

KERJASAMA DUA BIDANG: Profesor Adjung Dr Tan Yung Khan
(duduk), konsultan di Jabatan Urologi TTSH, bekerjasama dengan
Penolong Profesor Adjung Tan Cher Seng, Konsultan Kanan Jabatan
Diagnostik Radiologi TTSH, bagi kaedah baru pengesanan barah
prostat yang lebih berkesan. – Foto KHALID BABA
 

Beliau kemudian diminta doktor menjalani pemeriksaan bagi menentukan adakah beliau menghidap barah.

Beliau kemudian menjalani biopsi pimpinan kaedah ultrasound sebanyak tiga kali. “Setiap kali saya perlu menjalani biopsi tersebut, saya rasa tidak selesa.

“Tapi apakan daya, ketika itu apa yang penting adalah mendapatkan rawatan seawal mungkin.

“Jadi meskipun tidak selesa, saya tetap menjalaninya,” kata bapa dua anak yang kini berusia 81 tahun itu.

Biopsi ialah prosedur diagnostik yang dilakukan dengan mengambil sampel jaringan atau sel untuk dianalisis di makmal, baik untuk mendiagnosis sejenis penyakit mahupun untuk mengetahui jenis rawatan atau terapi yang terbaik bagi pesakit.

Menurut Encik Paul, setiap kali beliau menjalani biopsi tersebut (yang dilakukan menerusi rektum), beliau dapat merasakan alat tersebut ‘mencucuknya’ sehingga 10 kali bagi setiap sesi. Pasti ini boleh menimbulkan perasaan cemas setiap kali sebelum beliau menjalaninya.

Mujur baginya, terdapat satu kaedah pengesanan barah prostat baru yang lebih berkesan diperkenal dan beliau berpeluang menjalaninya. Biopsi imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) kaedah ultrasound itu mampu mengesan sehingga 92 peratus barah tahap pertengahan sehingga ke tahap tinggi.

“Sejak menjalani kaedah baru ini, saya tidak lagi perlu menjalani biopsi susulan. Kini hanya menantikan masa menjalani sesi kemoterapi pula,” ujar peniaga itu lagi.

Kaedah ini lebih baik berbanding 62 peratus sahaja sel barah agresif yang dikesan menerusi biopsi kaedah ultrasound yang digunakan sebelum ini, kata Profesor Adjung Dr Tan Yung Khan, konsultan di Jabatan Urologi Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Baki 38 peratus sel barah gagal atau terlepas daripada dikesan.

Sejak Mei tahun lalu, lebih 80 pesakit telah menjalani biopsi dengan kaedah sedemikian. Barah prostat biasanya menyerang bahagian kelenjar prostat kecil – yang mengeluarkan cecair yang melindungi sperma.

Malangnya, biopsi tradisional biasanya dilakukan secara rambang memandangkan tumor prostat tidak dapat dikesan menerusi imbasan ultrasound.

Sehingga sedozen atau lebih sampel tisu pesakit akan diambil secara rambang daripada prostat untuk diuji bagi sel barah.

Ini bermakna kesilapan boleh berlaku – sel barah tersebut boleh terlepas daripada dikesan atau yang lebih agresif boleh disalah tafsir sebagai bertahap rendah.

Justeru biopsi kaedah baru yang menggabungkan MRI itu boleh memberi panduan kepada pakar urologi, dengan membolehkan mereka menjalankan biopsi tersebut.

TTSH yang menjalankan sehingga 700 biopsi setahun bagi barah prostat dijangka menggunakan kaedah baru biopsi itu ke atas sekitar 200 hingga 300 pesakit setiap tahun, tambah Dr Tan.

“Mereka merupakan pesakit yang telah menjalani biopsi tradisional tapi masih disyaki menghidap barah prostat.

“Jika tidak kerana kaedah biopsi baru ini, mereka mungkin terpaksa mengulangi biopsi tradisional itu yang boleh dianggap sebagai ‘traumatik’ bagi sesetengah pesakit,” jelas Dr Tan.

Meskipun begitu, biopsi tradisional itu masih lagi ditawarkan kepada pesakit lelaki yang disyaki menghidap penyakit tersebut.


Download PDF 

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission.