News

Hab jagaan sepadu bakal mudahkan pesakit di TTSH

Berita Harian (19 April 2017) - DAHULU, basikal tuanya yang membawanya ke mana sahaja beliau pergi.

Namun, sejak kaki kanannya dipotong akibat kencing manis tahun lalu, Encik Azhari Rafiee hanya mampu melihat dan memegang basikalnya itu, yang telah mula berkarat.

 

BAKAL PUNYA KEMUDAHAN BARU: Encik Azhari, yang
bergantung pada kerusi roda selepas kaki kanannya dipotong
akibat kencing manis, dapat memanfaatkan Hab Jagaan Bersepadu
(ICH) selepas ia dibina di sebelah TTSH. – Foto JOHARI RAHMAT
 

Kini, kerusi roda menjadi pengganti basikal itu membawanya ke mana-mana.

“Sebelum ini, basikal saya digunakan untuk ke mana sahaja. Ke tempat kerja, bertemu kawan untuk bermain sepak takraw atau badminton dan ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

“Tapi sekarang saya hanya boleh tengok dan pegang basikal saya itu,” Encik Azhari, seorang bujang berusia 39 tahun.

Kehidupannya diburukkan lagi oleh keadaannya yang tinggal sebatang kara di sebuah flat sewa jenis ‘L’ di North Bridge Road.

Kerusi roda itulah teman Encik Azhari, yang kakinya dipotong Julai lalu, termasuk apabila beliau pergi ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH), sendirian.

Beliau perlu menjalani rawatan susulan bagi pelbagai penyakitnya dan terapi. Ini meskipun Encik Azhari diberi kaki palsu, kerana beliau belum dapat membiasakan diarinya menggunakannya.

“Memandangkan saya tidak biasa dengan kaki palsu ini, saya biasanya menggunakan kerusi roda untuk ke mana-mana sahaja.

“Dari satu kawasan ke kawasan yang lain, biasanya saya ‘gerak’ sendiri dengan kerusi roda saya itu,” ujar Encik Azhari.

Bagaimanapun pada 2022, beliau dan pesakit lain sepertinya – terutamanya yang memerlukan pemulihan intensiti tinggi akibat trauma pada otak atau kecederaan pada saraf tunjang, angin ahmar kompleks, atau kehilangan anggota badan – akan meraih manfaat apabila sebuah kompleks pemulihan baru siap dibina di sebelah TTSH dengan kemudahan khas yang direka bagi membantu pesakit pulih.

Hab Jagaan Bersepadu (ICH) itu akan mempunyai 500 katil, dengan satu perlima daripadanya digunakan Hospis Dover Park untuk menjaga mereka yang memerlukan jagaan paliatif (rawatan untuk mengurangkan sakit dan ketidakselesaan dan bukan merawat penyakit atau menyembuhkan).

Ruang selebihnya akan digunakan untuk menyediakan penjagaan sub-akut dan pemulihan.

Hab itu cabang pemulihan pembangunan HealthCity Novena yang seluas 17 hektar, yang juga merangkumi Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit dan kampus Sekolah Perubatan Lee Kong Chian.

ICH akan menyediakan sambungan penting antara hospital akut dengan penjagaan masyarakat.

Ini bermakna TTSH akan mengalihkan perkhidmatan pemulihan sedia adanya – termasuk yang kini terletak di Ang Mo Kio – ke pusat baru itu apabila ia siap.

Seorang jurucakap TTSH menyatakan dalam jawapan e-melnya bahawa kakitangan di ICH terdiri daripada pasukan berbilang disiplin, termasuk dalam bidang pemulihan, jagaan sub-akut dan jagaan paliatif.

Sebagai sebahagian fokus pada pemulihan, hab baru itu akan mempunyai persekitaran simulasi seperti perhentian bas dan rumah untuk membantu pesakit berlatih menjalani kehidupan tanpa bantuan.

Sebuah jambatan akan menghubungkan ICH dengan bangunan utama TTSH agar pesakit boleh dipindahkan dengan mudah antara kemudahan itu.

Pusat baru itu juga akan menyepadukan pelbagai fungsi, daripada pengawasan kesihatan awam hingga pengurusan penyakit klinikal dan latihan karyawan kesihatan.

Pusat bantu pesakit kudung berjalan semula dengan kaki palsu

LEBIH 3,800 pesakit baru mendapatkan khidmat prostetiks dan ortotiks (P&O) di Pusat Rekaan Jagaan Kaki dan Anggota Badan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) antara 2010 dengan 2015.

 

BANTU PESAKIT BERJALAN SEMULA: Seorang pakar
prostetiks dan ortotiks di Pusat Rekaan Jagaan Kaki dan Anggota
Badan TTSH, Cik Nurnazlyna Mohd Bahtiaraffandi, sedang
melayani seorang pesakit. – Foto ZAINAL YAHYA
 

Kebanyakan mereka adalah pesakit yang telah menjalani amputasi, atau pemotongan kaki.

Prostetiks dan ortotiks adalah bidang klinikal berkaitan anggota tubuh palsu Dianggarkan terdapat lebih 400 amputasi kecil dan besar dilakukan di TTSH – salah sebuah institusi kesihatan di bawah National Health Group (NHG) – setiap tahun.

Ketua Pusat Rekaan Jagaan Kaki dan Anggota Badan TTSH, Encik Mohd Khalid Mohd Anuar, berkata pihaknya mendapat antara enam dengan lapan pesakit setiap hari dengan pelbagai kerumitan.

“Kami mempunyai sembilan pakar prostetiks/ortotiks yang memberikan khidmat kepada pesakit setiap hari.

“Memandangkan kami satu-satunya pusat sedemikian di Singapura, kami menawarkan khidmat kepada kebanyakan kes amputasi dari semua hospital.

“Semua pesakit akan menjalani pemeriksaan susulan rutin setiap tahun,” tambahnya.

Selepas semakan awal, ukuran diambil, fabrikasi anggota tubuh palsu, penyesuaian dan sesi penilaian dengan pakar prostetiks/ortotiks, pesakit akan meneruskan pemulihan mereka menggunakan kaki prostetik atau palsu.

Keseluruhan proses ini mengambil tempoh enam dengan 12 bulan. Pesakit akan dipantau sepanjang hayat mereka memandangkan golongan itu memerlukan kaki palsu baru setiap tiga hingga lima tahun atau bagi pembaikan biasa jika perlu.

Menurut Encik Mohd Khalid, isu utama bagi kebanyakan pesakit ialah belajar mengimbangi dan berjalan semula menggunakan kaki palsu. “Selepas mereka belajar berjalan, membiasakan pergerakan kaki itu merupakan cabaran selanjutnya.

“Mereka kemudian perlu dilatih mengatasi hadangan yang biasa dilalui seperti bendul, tanjakan, tangga dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Semua pesakit perlu menjalani pemeriksaan susulan bagi memastikan anggota palsu mereka sesuai selain memeriksa sebarang kerosakan ke atas komponen yang digunakan.

“Ini bertujuan mengelakkan sebarang kecelakaan dan penting bagi pesakit menjalani sesi tersebut meskipun mereka berasakan bahawa kaki prostetik mereka selesa dipakai,” jelasnya.

Encik Mohd Khalid menambah bahawa pemantauan ke atas anggota badan yang masih ada juga penting bagi mencegah luka yang boleh menghalang proses pemulihan anggota tubuh yang menggunakan bahagian prostetik, termasuk memulihkan luka sebelum prostetik boleh digunakan.

Dalam kes lebih serius, amputasi lanjutan diperlukan, katanya lagi.


Download PDF 

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction