News

Demensia bukan proses penuaan semula jadi

Dua pakar Pusat Perubatan Geriatrik, Hospital Tan Tock Seng (TTSH) – Konsultan Kanan Dr Noor Hafizah Ismail dari Klinik Jatuh dan Imbang, dan Konsultan Perkhidmatan Kognisi dan Gangguan Memori, Dr Noorhazlina Ali – serta Konsultan, Pusat Kulit Nasional (NSC), Dr Ker Khor Jia, berkongsi pengamatan dan keprihatinan mereka mengenai persiapan bagi usia senja. Ikutilah laporan HASLEEN BACHIK (hasleen@sph.com.sg).

 

Berita Harian (17 May 2017) - MAIN teka-teki. Main game gunakan iPad. Atau main alat muzik.

 

Usah lupa persiap fizikal dan mental bagi usia senja

UNTUK meniti usia tua dengan jaya, seseorang itu harus membuat persiapan seawal mungkin.

Namun, apabila bercakap tentang persiapan menjelang usia senja, ramai segera memikirkan tentang persiapan dari segi kewangan bagi menjalani tempoh persaraan serta bekalan akhirat.

Tidak ramai membuat persiapan dari segi kesihatan, yang melibatkan aspek fizikal, mental dan sosial, kata Konsultan Kanan, Pusat Perubatan Geriatrik, Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Noor Hafizah Ismail.

“Kita tidak sedar aspek pencegahan semasa kita berada pada pertengahan umur. Ia sebenarnya amat penting kerana ia akan menjadi penentu bagaimana keadaan kita apabila tua nanti,” kata beliau, yang akur golongan pertengahan usia lebih cenderung memburu kerjaya selain sibuk membesarkan anak-anak sehingga kadangkala terlupa menjaga diri sendiri.

Pakar daripada Klinik Jatuh dan Imbang itu menambah: “Biasanya pada usia 30 tahun, kita berada di kemuncak.

Kemudian, ia akan menurun.

“Apabila usia mencecah 40 tahun, kita lebih matang dan kita biasanya mula sedar adanya perubahan. Untuk membaca pada jarak dekat terasa sukar dan kita memerlukan lensa progresif. Banyak pula ujian kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis dianjur agar dilakukan pada usia 40 tahun.

“Maka, pada usia inilah persiapan seharusnya sudah dimulakan.”

Dr Noor Hafizah menekankan peri pentingnya pemakanan sihat, senaman yang disifatkan umpama ubat penawar bagi banyak penyakit, termasuk langkah memperkuat kaki agar tidak mudah jatuh, mencegah penyakit kronik serta yang berkait pula dengan kesihatan mental bagi mengurangkan kemurungan.

Beliau, yang turut mengadakan ceramah bagi masyarakat, termasuk di masjid, berpendapat bahawa kegiatan yang dianjurkan untuk warga senja yang biasanya bersifat berkala boleh diadakan secara berterusan. Ini kerana ia platform yang baik bagi mengumpulkan warga tua secara tetap serta mendorong mereka menjalani hidup sihat.

“Di sinilah pertubuhan Melayu/Islam (MMO), pertubuhan kebajikan sukarela (VWO) dan masjid mungkin boleh memikirkannya.

“Biasanya ia boleh dilakukan melalui penglibatan. Cari apakah daya tarikan mereka secara sosial agar mereka terpaut dan berasa menjadi anggota sesebuah kumpulan.

Mungkin ada yang suka ke Expo dan ada pula yang ke masjid. Dari situ, perkenalkan mereka dengan kegiatan berkaitan kesihatan secara tetap,” usul Dr Noor Hafizah.

Semua itu antara kegiatan merangsang keupayaan kognitif yang dapat mengurangkan risiko mengalami demensia, kata Konsultan, Perkhidmatan Kognisi dan Gangguan Memori, Pusat Perubatan Geriatrik, Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Noorhazlina Ali.

Sejak lapan tahun lalu, beliau menceburi bidang geriatrik – bidang kajian mengenai penyakit orang tua yang melibatkan rawatan dan penjagaan kesihatan.

“Untuk mengurangkan risiko demensia, perkara penting yang harus dilakukan ialah mengelakkan tabiat buruk seperti merokok dan minum arak kerana semua itu akan meningkatkan risiko menghidap angin ahmar dan demensia pada kemudian hari.

“Seseorang itu juga harus mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan seimbang dan berkhasiat serta bersenam. Ini kerana senaman telah terbukti dapat membaiki ingatan.

“Ia dapat meningkatkan pengaliran darah ke pusat memori dan seharusnya menjadi perkara utama yang dilakukan sebelum anda berusia,” jelas Dr Noorhazlina, 37 tahun.

Beliau yang menceburi bidang geriatrik kerana berasa warga tua golongan “comel dan perlu dilindungi” dan bidang itu sesuai dengan personalitinya. Sejak menceburi bidang geriatrik, pemenang Anugerah Mendaki dan Hadiah Buku Perdana Menteri itu turut melibatkan diri dalam ceramah awam, khususnya bagi masyarakat Melayu, dengan tumpuan pada penyakit melibatkan kognisi, seperti demensia.

Dr Noorhazlina berkata masih terdapat salah faham yang perlu diperbetul dan lowongan yang wajar diisi.

“Saya rasa kebanyakan orang Melayu belum siap untuk menerima usia tua dan perkara yang berkaitan dengannya.

Mereka masih menyifatkan demensia sebagai sebahagian daripada proses penuaan dan tidak mengapa jika seseorang itu terlupa.

“Di sinilah terletak kekurangan dalam masyarakat kita,” katanya. Menurut beliau, sebahagian anggota masyarakat tidak tahu masa terbaik menemui pakar.

Jika seseorang warga tua menunjukkan masalah tingkah laku, ada orang menganggapnya sebagai masalah personaliti, kata beliau

“Bagi mereka, ia disebabkan faktor usia. Mereka menyangka semakin seseorang itu berumur, beliau akan menjadi semakin degil dan berkelakuan sedemikian.

“Mereka beranggapan anggota keluarga yang berumur itu sekadar mahukan perhatian, walhal apa yang mereka tunjukkan itu ialah simptom demensia.

“Sesetengah orang tidak menyifatkan demensia sebagai masalah dan berasa tidak perlu ke klinik. Bagi mereka, ia sebahagian daripada proses penuaan semula jadi, sedangkan ini tidak benar.

“Demensia bukan proses penuaan semula jadi.

“Ada juga yang menyangka tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan dan tiada yang dapat membantu. Itu juga tidak benar.

“Memang betul demensia tiada penawarnya, tapi terdapat ubat bagi mengawal tingkah laku serta memperlahankan kemerosotannya.

“Terdapat juga sumber dalam masyarakat untuk membantu mengurangkan tekanan ke atas penjaga,” Dr Noorhazlina.

Kekuatan ikatan antara generasi dalam masyarakat Melayu aspek yang harus dimanfaatkan dalam menangani isu demensia, tambah beliau.

“Ini bermakna bukan penjaga pesakit demensia sahaja terlibat, malah semua anggota keluarga. Yang muda boleh ikut menjaga. Mereka boleh bermain bersama pesakit, misalnya melalui iPad atau apa jua kegiatan yang dapat merangsang minda,” usul beliau, yang turut memberi amaran tentang penggunaan jamu dan suplemen bagi mengatasi masalah kesihatan itu.

Dr Noorhazlina berkata terdapat pelbagai jenis demensia, tetapi yang paling lumrah ialah demensia Alzheimer.

Jika seseorang itu disahkan mengalami demensia Alzheimer pada usia lebih 60 tahun, baka kurang menjadi puncanya.

Menjelas apakah sebenarnya berlaku pada otak seseorang yang mengalami demensia, Dr Noorhazlina berkata:

“Apabila seseorang semakin tua, terdapat perubahan dalam otaknya. Saintis sendiri tidak tahu bagaimana demensia Alzheimer boleh terjadi, di mana terdapat protein tidak normal yang mendap di dalam otak, yang dialami sebahagian orang.”

Demensia ialah sindrom di mana seseorang itu antara lain mengalami masalah lupa dan tidak lagi berupaya melakukan perkara yang pernah dilakukannya secara sempurna.

Masalah kognitif yang dihadapi itu boleh menjejas kehidupan harian. “Sebagai contoh, masalah lupa tentang janji temu dan ia menjadi lebih kerap.

Memang kita kadangkala terlupa ekoran stres. Tetapi kumpulan ini tidak berhadapan dengan tekanan, tapi tetap terlupa.

“Satu detik ke dapur, kemudian ke ruang tamu tapi lupa apa yang perlu dibuat. Ke pasar raya tapi lupa nak beli apa. Yang lebih teruk sampai lupa dah makan ke belum.

“Jika dulu boleh masak dengan baik, kini mengatur bahan pun tidak boleh dilakukan. Seseorang itu mungkin menghadapi masalah menangani juadah kompleks.

Atau mungkin dulu tiada masalah menggunakan pengangkutan awam, sekarang kebingungan hingga tersesat.

“Ketepikan faktor tekanan, maka masalah lupa itu tidak normal,” ujar Dr Noorhazlina.


Download PDF 

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction