SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Batuk tak henti sebulan... rupanya dijangkiti TB

Berita Harian (10 April 2019) - BATUK yang tidak berhenti selama sebulan membuat Cik Siti Aishah Haron berasa kurang selesa untuk lakukan kegiatan hariannya.

BH_20190410_TB1.jpg

KINI LEBIH SIHAT: Cik Siti Aishah dan suaminya Encik Jaffar pernah habiskan beberapa bulan dalam rumah selepas disahkan menghidap TB, namun kini sudah sembuh menyusuli rawatan rapi yang dipatuhi mereka. 
– Foto BH oleh JOSEPH CHUA

Jika sebelum ini beliau gemar bermain bersama cucu saudaranya, apabila batuk melanda beliau rasa sukar untuk lakukan semua yang digemarinya.

"Saya batuk secara tiba-tiba tanpa henti. Padahal tiada demam, dan tiada kahak pun. "Cuma batuk kering sahaja. Akhirnya atas nasihat seorang anak saudara, saya pun gagahkan diri berjumpa doktor," katanya. Alangkah terperanjatnya apabila mendapat tahu bahawa dirinya telah dijangkiti penyakit tuberkulosis (TB).

Padahal baginya penyakit tersebut jarang didengarnya berlaku sejak kebelakangan ini, dan beliau tidak tahu bagaimana dirinya dijangkiti penyakit tersebut.

TB merebak melalui pendedahan tertutup dan berpanjangan kepada individu berjangkit yang mempunyai TB pulmonari aktif (paru-paru) yang tidak dirawat.

Ia disebabkan bakteria yang biasanya menyerang paru-paru. Ia merebak menerusi titisan di udara apabila seseorang yang mempunyai jangkitan aktif batuk.

Antara tandanya ialah batuk tidak berhenti, pengurangan berat badan dan batuk darah.

Sementara itu, sedang Cik Siti Aishah, yang juga merupakan pesakit kencing manis selain menghidap masalah jantung, ditahan selama empat hari di wad, suaminya, Encik Jaffar Abdul Rahim, 78 tahun, terpaksa menjalani pemeriksaan bagi menentukan sekiranya beliau juga telah dijangkiti penyakit tersebut.

Pemeriksaan doktor mengesahkan pesara itu juga telah dijangkiti TB.

"Selepas dibenar pulang, kami berdua terpaksa kuarantin diri dalam rumah.

"Kerja sambilan menjaga cucu saudara terpaksa dialihkan kepada saudara lain.

"Sepanjang sembilan bulan lamanya, kehidupan kami berligar dalam rumah dan ke poliklinik untuk makan ubat," jelasnya.

Sepanjang dua bulan pertama, pasangan itu terpaksa ke poliklinik setiap hari (melainkan Ahad) untuk makan ubat.

Selepas tempoh tersebut, mereka ke poliklinik tiga kali seminggu.

"Anak kami yang masih remaja juga terpaksa jalani pemeriksaan, tapi mujur dia tidak dijangkiti penyakit tersebut," kata Encik Jaafar yang juga menghidap tekanan darah tinggi selain masalah jantung.

Sepanjang tempoh menjalani rawatan, pasangan itu menerima dana bantuan kewangan sebanyak $50 setiap seorang setiap bulan.

Bantuan tersebut diberi di bawah program Terapi Pemantauan Secara Langsung dan Belanja (Dot & Shop) kendalian bersama SATA CommHealth dengan Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Cik Siti Aishah berkata beliau mengambil tempoh sembilan bulan untuk disahkan 'bebas' TB.

Pasangan itu, yang kini juga mendapat bantuan kewangan daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan pusat khidmat keluarga (FSC), tidak lagi perlu menjalani sebarang rawatan susulan sejak disahkan bebas TB lewat tahun lalu.

Program 'DOT & SHOP' dilanjut bagi dorong pesakit TB tamatkan tempoh rawatan

SATU Memorandum Persefahaman (MOU) bagi lanjutan program Terapi Pemantauan Secara Langsung dan Belanja (Dot & Shop) telah dimeterai antara SATA CommHealth dengan Hospital Tan Tock Seng (TTSH), baru-baru ini.

BH_20190410_TB2.jpg

Program yang masuk tahun ke-10 itu telah membantu ramai pesakit tuberculosis (TB) yang memerlukan di Singapura menerusi pengagihan baucar pasar raya sebagai insentif bagi menggalak mereka menamatkan tempoh rawatan.

Dana Masyarakat TTSH (TTSH CF) yang merupakan badan amal TTSH, juga turut serta dalam kolaborasi itu mulai tahun ini.

Sejak bermulanya program tersebut pada 31 Disember tahun lalu, sejumlah 2,226 pesakit TB telah disertakan dalam program Dot & Shop.

Lebih daripada 1,870 pesakit TB tamat tempoh rawatan mereka di bawah skim Dot & Shop sejak 2009 hingga tahun lalu. Sejak Julai 2009, lebih daripada $617,060 berupa baucar telah diagihkan di bawah program itu.

Sejak awal tahun ini, golongan pesakit TB memerlukan juga boleh menerima bantuan pengangkutan ke poliklinik untuk makan ubat mereka dan ke Unit Kawalan Tuberculosis (TBCU) untuk temu janji dengan kakitangan jagaan kesihatan.

Mulai Januari ini, SATA CommHealth akan terus menyokong program itu dengan mengikrarkan sejumlah $100,000 tunai setiap tahun untuk tempoh lagi dua tahun berakhir 31 Disember 2020 menerusi TTSH CF, yang akan mengagihkan dana tersebut.

Baucar-baucar tersebut diberi kepada pesakit yang telah makan semua dosaj ubat mereka seperti yang diarahkan dan selesai tempoh rawatan mereka.

Namun sekitar 15 peratus daripada mereka tidak tamat tempoh rawatan di bawah skim itu atas sebab meninggal dunia (akibat masalah lain), selain masalah tidak mematuhi atau tidak disiplin untuk makan ubat.

Menyatakan demikian Pengarah Unit Kawalan TB di TTSH, Profesor Madya Cynthia Chee, berkata:

"Program ini telah lakukan sebanyak mungkin untuk bantu pesakit TB untuk selesaikan ubat mereka sehingga mereka dapat dirawat.

"Selagi mungkin kami akan cuba sasarkan untuk memastikan sehingga 90 peratus pesakit TB yang layak di program ini, untuk teruskan rawatan yang diperlukan sehingga selesai.

"Namun di Singapura ini agak mencabar, memandangkan ramai dalam kalangan kes TB merupakan pesakit warga senja.

"Dan mereka tidak tamat rawatan atas sebab lain yang menjejas kesihatan mereka seperti mereka meninggal dunia akibat angin ahmar atau penyakit jantung."

Kriteria pesakit TB yang didaftarkan di bawah program Dot & Shop merupakan mereka yang mempunyai pendapatan per kapita rumah (PCI) sekitar $1,100 sebulan atau lebih rendah bagi warga negara atau Penduduk Tetap (PR) Singapura sejak 2017.

Pesakit yang mempunyai PCI melebihi had $1,100 boleh memohon untuk didaftarkan tapi perlu menjalani reviu ketat oleh seorang pekerja sosial perubatan TBCU.

Dianggarkan pada masa ini terdapat sekitar 1,600 pesakit TB adalah warga negara ini serta PR Singapura.

Daripada angka tersebut, kebanyakan mereka merupakan penduduk warga senja.

Tahun lalu, 25 pesakit TB meninggal dunia.

Biasanya tempoh rawatan mereka berlangsung antara enam dengan sembilan bulan, namun terdapat juga mereka yang terpaksa menjalani tempoh rawatan lebih lama sehingga 20 bulan kerana penyakit TB mereka mempunyai daya tahan berbeza terhadap ubat yang diberi.

Golongan tersebut, kata Dr Chee, membentuk sekitar 0.3 peratus daripada keseluruhan sekitar 1,600 pesakit.
















2019/05/03
Last Updated on