SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Pendekatan jagaan kesihatan kini lebih tumpu pada warga - PM Lee
KHIDMAT JAGAAN KESIHATAN DEPAN PINTU: PM Lee meninjau Pusat Spesialis Ang Mo Kio, yang menurut beliau membawa rangkaian kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar terus ke depan pintu penduduk dan bertujuan menawarkan penjagaan berterusan. – Foto HOSPITAL TAN TOCK SENG

Pusat Spesialis AMK TTSH yang baru selaras matlamat SG tumpu pada cegah penyakit dari penjagaan hospital

Berita Harian (19 march 2022)

PEMERINTAH akan mengambil pendekatan lebih tertumpu pada warga dalam soal penjagaan kesihatan, bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Singapura.

Ini termasuk memperkasa individu untuk menjaga kesihatan mereka sendiri melalui langkah kesihatan pencegahan, menambat pengurusan penyakit dalam peringkat utama dan tetapan penjagaan masyarakat serta mempunyai agensi rangkaian dan rakan kongsi masyarakat untuk menyelaraskan penjagaan kesihatan dan sokongan sosial.

Ini dinyatakan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam ucapan semasa perasmian Pusat Spesialis Ang Mo Kio yang dikendalikan Tan Tock Seng Hospital (TTSH) semalam.

Pembukaan pusat baru itu selaras dengan objektif Singapura mengalihkan tumpuannya daripada penjagaan hospital berdasarkan penyakit kepada penjagaan bertujuan mencegah penyakit, yang lebih berdaya tahan.

Kemudahan di Ang Mo Kio Avenue 8 itu akan melibatkan lebih banyak poliklinik dan doktor umum dalam menguruskan kesihatan penduduk.

Encik Lee berkata pusat itu juga akan membawa rangkaian kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar terus ke depan pintu penduduk dan bertujuan menawarkan penjagaan berterusan.

Namun, beliau juga berkata memastikan kesihatan dan kesejahteraan penduduk memerlukan usaha bersama.

"Pemerintah sentiasa mengkaji semula keseluruhan dasar dan strategi penjagaan kesihatan, membina kemudahan baru dan lebih baik serta menyediakan kakitangan profesional terlatih.

"Penyedia penjagaan kesihatan sentiasa berusaha meningkatkan tahap penjagaan yang diberi kepada penduduk kita.

"Tetapi penduduk juga mesti memainkan peranan untuk kekal sihat,” ujar Encik Lee.

Beliau memetik beberapa statistik membimbangkan yang disebut oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya di Parlimen baru-baru ini.

Sebagai contoh, antara 2017 dan 2020, kadar warga Singapura yang mengalami tekanan darah tinggi meningkat daripada kirakira dua dalam 10, kepada tiga dalam 10. Kadar warga Singapura yang mempunyai kolesterol tinggi meningkat daripada kira-kira tiga dalam 10 kepada empat dalam 10.

Kadar obesiti meningkat daripada bawah 9 peratus kepada lebih 10 peratus. Kadar penghidap kencing manis kekal hampir sama, meskipun pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengatasi masalah itu sejak 2016.

Encik Lee berkata semua warga Singapura mesti berusaha menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, mematuhi nasihat profesional perubatan, kekal aktif, kekal cergas dan perhatikan apa yang mereka makan.

"Saya tahu ada makanan sedap dekat sini. Tetapi tolong jangan terlalu banyak, semuanya secara sederhana.

"Itulah caranya, walaupun dengan populasi yang kian menua, kita boleh membantu sistem penjagaan kesihatan kita untuk memastikan penjagaan kesihatan mampan dan baik bagi semua warga Singapura," ujar beliau.
















2022/03/21
Last Updated on