SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Pusat galak inovasi sektor jagaan kesihatan dilancar

Berita Harian (10 May 2019) - SEBUAH pusat yang menggalakkan inovasi baru untuk membantu perubahan berterusan sektor penjagaan kesihatan Singapura telah dilancarkan semalam.

BH-20190510.jpg 

PUSAT BARU: Pusat Ng Teng Fong bagi Inovasi Penjagaan Kesihatan (CHI) ditubuhkan untuk membentuk operasi penjagaan kesihatan awam, dengan menyokong karyawan kesihatan yang mahu idea mereka dipindahkan dalam bentuk prototaip dan memudahkan mereka mendapatkan maklumat dan pengetahuan agar idea itu dapat dimanfaatkan dalam kehidupan sebenar. – 
Foto BH oleh ARIFFIN JAMAR 

Pusat Ng Teng Fong bagi Inovasi Penjagaan Kesihatan (CHI) ditubuhkan untuk membentuk operasi penjagaan kesihatan awam, dengan menyokong karyawan kesihatan yang mahu idea mereka dipindahkan dalam bentuk prototaip dan memudahkan mereka mendapatkan maklumat dan pengetahuan agar idea itu dapat dimanfaatkan dalam kehidupan sebenar.

Pusat itu, yang terletak bersebelahan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) yang telah mula beroperasi sejak November 2018, akan berjalan sepenuhnya menjelang akhir Mei.

Kedua-dua kemudahan itu menelan belanja $940 juta untuk pembinaannya.

Pusat berkenaan adalah salah satu daripada sembilan projek baru di bawah Pelan Induk Health City Novena 2030, yang dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada 2013.

Bangunan seluas 24,000 meter persegi dan setinggi sembilan tingkat itu menyediakan ruang fizikal bagi menggalak inovasi. Ini termasuk ruang-ruang perbincangan, studio pembelajaran dan makmal inovasi seperti Makmal Kehidupan CHI (Chill).

Di sini mereka boleh dapatkan nasihat pereka yang menggunakan alat seperti mesin pencetak tiga dimensi (3D) untuk mengubah konsep mereka menjadi produk yang boleh digunakan.

Encik Gan, dalam majlis pelancaran semalam berharap CHI boleh memainkan peranan penting bagi menggalak inovasi dalam penjagaan kesihatan.

"Dengan peningkatan permintaan bagi penjagaan kesihatan daripada penduduk yang menua dan pertumbuhan tenaga pekerja tempatan yang agak perlahan, kita perlu menghasilkan idea baru dan membentuk sistem kita agar dapat mengatasi segala kekurangan dan mencari huraian baru," kata Encik Gan.

"Saya harap CHI dapat mainkan peranan gentingnya menggalak inovasi dalam jagaan kesihatan," tambah beliau.

Antara prototaip yang telah diketengahkan ialah kerusi untuk warga emas yang kini digunakan untuk pemulihan fizikal.

Kerusi itu, yang boleh diubah bentuknya menjadi katil mudah alih untuk perawat pesakit atau tetamu, telah dibentuk dengan kerjasama Politeknik Nanyang (NYP) dan CHI. Idea menghasilkan kerusi itu adalah daripada kakitangan kesihatan.

CHI juga akan menyimpan rekod amalan jagaan kesihatan terbaik, laporan projek lalu dan pengalaman pembelajaran.

Portal dalam talian dipanggil sistem CHI Learning & Development (Child) akan memudahkan akses kepada maklumat dan pengetahuan meliputi institusi-institusi kesihatan di Singapura.
















2019/05/10
Last Updated on